Tuesday, October 26, 2010

HAKIKAT AKHLAK~

"Apa yang sebenarnya dituntut dari kita ialah supaya membuat segala kebaikan dan mencapai segala kejayaan tetapi dalam pada itu kita diwajibkan mengekalkan rasa-rasa hamba di hati kita. Perbuatan lahir mesti positif. Rasa di hati mesti negatif. Dalam amalan hati, yang negatif itulah sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya."

Akhlak itu ada dua. Ada akhlak lahir dan ada akhlak batin atau hati. Pemurahlah dengan manusia tetapi di sisi Allah rasakan yang kita ini bakhil. Berbuat baiklah kepada manusia tetapi rasakan yang kita ini jahat. Carilah ilmu hingga jadi alim tetapi rasakan yang kita ini jahil. Biarkanlah manusia memuliakan kita tapi rasakanlah dalam hati kita yang kita ini hina di sisi Tuhan. Kekalkan rasa takut, cemas dan bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka walaupun kita telah bertungkus-lumus melakukan taat kepada Tuhan.



Siapa yang merasakan dirinya hina, adalah mulia di sisi Tuhan. Siapa yang merasakan dirinya berdosa, diampunkan dosanya oleh Tuhan. Siapa yang rasa bersalah, dimaafkan oleh Tuhan. Siapa yang rasa jahil sebenarnya berilmu kerana natijah orang yang alim itu, dia merasakan dirinya jahil di sisi Tuhan. Dan begitulah seterusnya jongkang-jongkit di antara amalan lahir dan amalan hati. Perbuatan lahir mesti positif. Rasa di hati mesti negatif. Dalam amalan hati, yang negatif itulah sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya.